Di mana matahariku?

Friday, 26 October 2012 0 comments

Dihujung dunia,
fana menangis luka,
pada udara hamis yang didiami
makhluk melata kini
kemana matahari yang bersinar?
menghalau syairan yang menipu.

aku tanpa matahari adalah aku tanda ruh
tiada lagi gema sakti yang memancar pada sukmaku

oh,kemana kau menghilang?

27 Okt 2012
Sg Petani

Hujan di Kedawang

Monday, 22 October 2012 0 comments

Minggu lalu
selepas suria sakit kerna
oksigen yang memberontak
hujan bertalu memberi damai

pada belalang, rerama dan pepatung
yang makin mereput seusia mereka
kini bergembira bahagia

namun apakah derita langit ini terhenti selamanya?
teruslah berdoa wahai buana semua.

23 Okt 2012
Kedawang, Langkawi

Tangisan Maharaja

Wednesday, 17 October 2012 0 comments

[Suara 1:]
Dewata makin suram tanpa bisikannya
Puteri gila tiada sakti yang menyembuh
Seluruh buana pula sepi dan mati
Maka bertitahlah sang maharaja
Mencari nafas yang bernyawa kembali

[Suara 2:]
Mana mungkin!
Setelah nafas itu dipijak dan dicampak jauh ke hutan serigala lapar,
dan setelah disiat oleh mulut kotor penuh darah serigala belaanmu, kau tikamnya berkali-kali dengan belati hinamu hingga ia tertunduk separuh mati.

Nah!
Betapa celakanya kau sekarang!
Betapa malangnya jasad-jasad dibawah perintah kau!
Betapa tiadanya jalan untuk kau pulang!
Betapa pula tiada kemaafan untuk dirimu setelah ini!
Biarlah puterimu terus gila!
Biarlah buanamu terus mati!

[Suara 3:]
Demi Tuhan yang menjadikan bumi dan langit serta isinya.
Sungguh! kemaafan itu masih berbaki dihujung rasa itu.
Dan sungguh,nafas yang bernyawa juga bisa dibangkitkan kembali!

[Suara 2:]
Bagaimana??

[Suara 3:]
Mohonlah pada Tuhanmu dengan jiwa hamba, bukan jiwa maharaja!
Sesungguhnya rahmatNya melimpah hingga ke sulbi!

Ubati sang puteri dengan kalimah-kalimah keramat Ilahi.
Dan hidupkan seluruh penghuni buana itu dengan roh KalamNya.

Benar,dewata pasti bergema kembali!

-Kedawang, 18 Okt 2012